Apakah sebab-sebab masalah kesuburan?

Fahami sebab-sebabnya dan periksa pilihan anda dengan teliti.

Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang perkara yang mempengaruhi kesuburan wanita, lelaki dan pasangan, anda akan dapati di bawah ini beberapa kondisi atau punca masalah kesuburan yang biasa.

Apakah perkara yang mempengaruhi kesuburan wanita?

Terdapat tiga penyebab utama yang menjadi masalah dan menyukarkan untuk hamil, tetapi senarai ini tidak terhad dan situasi individu anda mungkin tidak berkaitan dengan mana-mana kategori di bawah:

Masalah hormon

  • Tiada ovulasi

    Ovulasi dikawal oleh hormon kesuburan. Maka, sekiranya paras hormon anda terganggu atas apa jua sebab, ovulasi anda akan terjejas. Petanda kemungkinan terdapat masalah ovulasi ialah haid yang tidak teratur atau tiada haid. Anda mungkin mendapati ada ovulasi, tetapi bukan pada setiap kitaran.

    Gangguan hormon yang mempengaruhi ovulasi boleh disebabkan pelbagai faktor. Faktor ini termasuk perubahan dramatik pada berat badan, tekanan, senaman berat dan penyakit. Sekiranya anda gagal melihat PUNCAK pada Monitor Kesuburan Clearblue atau Ujian Ovulasi Digital Clearblue dengan Indikator Dwi Hormon, atau tidak mengesan lonjakan LH pada ujian ovulasi bagi 3 kitaran berturut-turut, anda disarankan agar merujuk kepada pakar penjagaan kesihatan.

  • Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)

    PCOS bermaksud seorang wanita itu mempunyai sista berbilang pada ovarinya dan hormonnya tidak seimbang Doktor anda boleh mendiagnos penyakit ini melalui ujian darah. Sila berjumpa doktor anda untuk nasihat lanjut. Simptom termasuk peningkatan berat badan, pertumbuhan bulu berlebihan dan juga masalah untuk hamil.

  • Fasa Luteum Pendek

    Sekiranya bilangan hari antara ovulasi dan permulaan haid seterusnya sangat sedikit (kurang 10 hari), ada kemungkinan walaupun anda dapat hamil, telur yang tersenyawa digugurkan sebelum ia dapat melekat pada lapisan rahim. Perkara ini boleh diperhatikan jika anda menggunakan ujian ovulasi atau monitor kesuburan - kira bilangan hari antara puncak hari subur kedua dan hari haid anda bermula. Sila rujuk doktor anda kerana masalah ini boleh dirawat.

  • Menopaus awal

    Sekiranya anda telah mengalami menopaus kehamilan tidak mungkin berlaku, dan dalam jangka menjadi menopaus (perimenopaus) adalah amat sukar untuk hamil. Jika ibu anda mengalami menopaus awal, kemungkinan besar anda juga akan mengalaminya, jadi cuba selidik pada umur berapa ibu anda mula mengalami menopaus. Jika ibu anda mengalami menopaus awal, anda disarankan merujuk kepada pakar penjagaan kesihatan tentang perancangan anda untuk hamil.

Masalah pada tiub Falopio

Tiub Falopio yang tersumbat boleh menghalang sperma dari sampai ke telur.

Jangkitan klamidia yang tidak dirawat

Sebab utama tiub Falopio tersumbat ialah jangkitan klamidia yang dibiarkan tanpa rawatan. Klamidia ialah sejenis jangkitan biasa yang mudah berjangkit melalui hubungan seks tanpa perlindungan. Sesetengah wanita mungkin langsung tidak sedar mereka mengalami jangkitan klamidia sebab kurang berlakunya simptom. Jika ada kemungkinan anda dijangkiti klamidia, sila berjumpa doktor anda untuk menjalani ujian.

Fibroid

Fibroid ialah ketumbuhan tisu otot di dalam rahim yang boleh menyumbat tiub Falopio atau menghalang telur sudah tersenyawa dari ditanam. Sila berjumpa doktor anda untuk nasihat lanjut.

Endometriosis

Perkara ini berlaku apabila tisu yang menjadi lapisan rahim tumbuh di luar rahim. Ia boleh menghalang tiub Falopio dan mencegah pensenyawaan. Endometriosis boleh menyebabkan haid yang banyak dan/atau menyakitkan. Ia boleh dirawat menggunakan ubatan atau dengan menyingkirkan tisu berlebihan. Doktor anda boleh memaklumkan anda dengan lebih lanjut.

Kemungkinan Lain

Kekeringan vagina adalah lebih biasa berlaku dari apa yang kita sangkakan. Dalam satu kajian merentasi 11 negara yang melibatkan 6,725 wanita, hingga 18% wanita berusia 18-34 tahun melaporkan selalu atau biasa mengalami kekeringan vagina. Keadaan ini menjadi bertambah buruk apabila pasangan melakukan seks dengan tujuan untuk hamil. Sesetengah bahan pelincir yang biasa didapati di pasaran boleh menjadi toksik kepada sperma termasuk air liur - maka gunalah bahan pelincir yang mesra sperma. Hubungan seks tanpa perlindungan pada hari-hari sebelum dan/atau pada hari ovulasi diperlukan untuk menjadi hamil. Hal ini boleh dicapai dengan melakukan seks setiap dua hari, tetapi banyak pasangan yang mendapati perkara ini tidak menyenangkan. Justeru, dengan memastikan hari ovulasi anda dan melakukan seks pada masa ini meningkatkan peluang anda untuk hamil secara semula jadi.

Apakah perkara yang mempengaruhi kesuburan lelaki?

Perkara ini merangkumi tiga bahagian:

  • Kurang bilangan sperma atau sperma kurang berkualiti

    Jika sperma yang dipancutkan tidak banyak, kebarangkalian untuk sperma mensenyawakan telur berkurangan. Jika sperma tidak berkualiti, ia tidak dapat sampai ke telur dan menembusi membran untuk mensenyawakan telur. Penghasilan sperma boleh menjadi kurang sekiranya testis tidak berpersekitaran sejuk. Pasangan anda boleh memastikan testikelnya tidak terlalu panas dengan memakai seluar dalam yang longgar. Bilangan dan kualiti sperma boleh dinilai melalui ujian ringkas yang anda boleh peroleh daripada doktor anda.

  • Kecelaruan erektil

    Jika seorang lelaki mengalami kesukaran mendapat atau mengekalkan ereksi, atas sebab fizikal atau psikologi, sukar baginya untuk melakukan seks. Ada bantuan disediakan, sila jumpa doktor anda.

  • Sebab-sebab lain

    Sebab-sebab lain masalah kesuburan lelaki yang jarang berlaku termasuk saluran yang membawa sperma dari testikel tersumbat, sebab genetik, masalah hormon dan keadaan luar biasa lain. Doktor anda boleh mengenal pasti masalah ini melalui ujian.

Apakah perkara yang mengurangkan kesuburan?1

Cara hidup

  • Pengambilan alkohol

    Kesuburan kedua-dua lelaki dan perempuan boleh terjejas akibat pengambilan alkohol yang berlebihan. Panduan klinikal di UK menyarankan pengambilan maksimum 1-2 unit sehari bagi wanita dan 3-4 unit sehari bagi lelaki, sama ada anda cuba untuk hamil atau tidak. Mengurangkan pengambilan alkohol boleh membantu anda hamil.

  • Merokok

    Berbanding dengan orang yang tidak merokok, lelaki yang merokok mungkin mempunyai bilangan sperma yang lebih sedikit dan/atau jumlah sperma abnormal yang lebih tinggi. Bagi wanita, merokok boleh mempengaruhi kesuburan dan menyebabkan menopaus pramasa. Merokok juga boleh meningkatkan risiko keguguran di samping sakit bersalin yang awal.Merokok adalah sangat berbahaya untuk kesihatan janin dan sebaik-baiknya anda berhenti merokok sebelum hamil.

    Anda dan pasangan anda harus cuba berhenti merokok jika anda ingin cuba mendapatkan bayi.

  • Dadah Rekreasi

    Terdapat banyak jenis dadah rekreasi/dilarang yang digunakan hari ini dan bagaimana dadah ini mempengaruhi kesuburan belum dikaji dengan mendalam.Kebanyakan dadah mendatangkan kesan buruk dalam perkembangan bayi, maka anda harus berhenti dari mengambil sebarang dadah rekreasi/dilarang jika anda mencuba untuk hamil.

Berat badan

Berat badan yang kurang atau berlebihan boleh mengubah kitaran haid anda justeru mengurangkan peluang untuk hamil. Lelaki yang mempunyai berat berlebihan mungkin mempunyai bilangan sperma yang sedikit dan kurang berkualiti. Kunjungi doktor atau jururawat anda untuk mengetahui berat badan ideal anda dan untuk nasihat praktikal dalam meningkatkan atau mengurangkan berat badan jika perlu.

Ubatan

Sekiranya anda, atau pasangan, mengambil sebarang ubatan, periksa dengan doktor untuk memastikan ia tidak menjejaskan kesuburan. Mungkin ada pilihan lain.

Umur

Anda dilahirkan dengan bekalan telur untuk sepanjang hayat dan bilangannya berkurangan seiring dengan peningkatan usia. Selepas 38-40 tahun, bilangan telur semakin berkurangan dan kualiti telur juga turut merosot. Jika anda berumur 35 tahun ke atas, anda dinasihatkan agar berjumpa dengan doktor selepas mencuba selama sekitar enam bulan, dan jika anda 40 tahun ke atas, minta nasihat doktor apabila anda mula mencuba untuk hamil. Tidak banyak yang diketahui tentang kesuburan bagi lelaki yang berusia tetapi dipercayai kesuburan lelaki merosot pada usia sekitar 40 tahun juga.

Ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan

Kadangkala semua ujian klinikal melaporkan keputusan normal tetapi setelah mencuba beberapa tahun anda masih belum hamil. Perkara ini boleh menjadi sangat mengecewakan dan menyedihkan kerana tiada yang dapat diberi perhatian untuk pembaikan atau rawatan. Dianggarkan lebih kurang satu pertiga pasangan yang mengalami ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan menjadi hamil dalam masa tiga tahun tanpa sebarang intervensi.

Apakah subkesuburan dan ketidaksuburan?

Majoriti pasangan yang mencuba untuk hamil lebih dari dua tahun tetapi tidak berjaya adalah secara teknikalnya 'subsubur.Walaupun ovulasi dan penghasilan sperma terjadi, mereka mungkin mengalami kesukaran untuk hamil atas sebab berkaitan hormon atau masalah fizikal dalam organ reproduktif. Banyak masalah ketidaksuburan boleh dirawat, jadi jika anda bimbang, berjumpalah dengan doktor anda. Ketidaksuburan tegar iaitu pasangan wanita langsung tidak berovulasi atau air mani pasangan lelaki tidak mengandungi sperma - adalah sangat jarang berlaku - kajian menunjukkan perkara ini hanya berlaku kepada lebih kurang 9% dari populasi3.

Lebih kurang satu pertiga dari kes isu kesuburan disebabkan oleh masalah berkaitan wanita, satu pertiga berkaitan lelaki dan satu pertiga lagi disebabkan isu keserasian atau gabungan masalah4.

Jika anda telah mencuba untuk hamil selama setahun tetapi tidak berjaya dan anda berumur bawah 35 tahun, kami menasihatkan anda merujuk kepada pakar penjagaan kesihatan untuk nasihat lanjut. Jika anda berumur 35 tahun ke atas, anda harus mendapatkan bantuan selepas mencuba selama 6 bulan, dan serta-merta jika lebih dari 40 tahun.

  • 1 Leiblum SR, et al. Vaginal dryness: a comparison of prevalence and interventions in 11 countries. J Sex Med. (2009) 6: 2425–2433.
  • 2 NICE Clinical Guidline 62 (2008)
  • 3 Boivin J., et al. International estimates of infertility prevalence and treatment-seeking: potential need and demand for infertility medical care Human Reproduction (2007) 22: 1506-12
  • 4 www.hfea.gov.uk