Haid atau datang bulan adalah pendarahan biasa yang dialami oleh wanita, selalunya berlaku sekali dalam sebulan dan selama 3-7 hari. Istilah sindrom prahaid digunakan untuk menggambarkan simptom yang kadangkala menjengkel dan tidak menyenangkan yang dialami oleh wanita dalam beberapa hari sebelum haid.

Perkara yang perlu diketahui tentang kitaran haid anda

Haid yang menyakitkan

Haid ada kalanya menyakitkan dan kebanyakan wanita pernah, pada suatu ketika, mengalami 'senggugut'. Sesetengah wanita mengalami haid yang sangat menyakitkan (dikenal sebagai dismenorea), yang menyebabkan rasa amat tidak selesa untuk beberapa hari dalam setiap kitaran haid.

Senggugut boleh dilegakan dengan ubat penghilang kesakitan yang boleh dibeli tanpa preskripsi, tetapi jika anda mengalami haid yang sangat menyakitkan, sebaik-baiknya pergilah berjumpa doktor.

Pendarahan berlebihan semasa haid

Sesetengah wanita mengalami pendarahan berlebihan semasa haid. Keadaan ini dikenal sebagai menoragia dan ditakrifkan sebagai pendarahan berlebihan yang melampau dan berpanjangan. Kebanyakan wanita mengalami pendarahan haid sebanyak 6 ke 8 sudu teh darah ketika haid, tetapi amat sukar untuk menyukat pendarahan haid. Jika anda dapati yang anda perlu menukar tampon atau tuala wanita terlalu kerap (lebih kerap daripada yang disarankan oleh pengilang) dan jika kelihatan ketulan darah beku yang besar, maka anda mungkin mengalami pendarahan haid berlebihan yang luar biasa.

Pendarahan berlebihan semasa haid boleh disebabkan oleh beberapa perkara, termasuk ketidakseimbangan hormon, alat pencegahan kehamilan dalam rahim (IUD), atau fibroid; walaupun bagi kebanyakan wanita, puncanya tidak diketahui.

Pendarahan berlebihan tidak semestinya bermakna haid yang menyakitkan. Namun, jika anda seorang yang mengalami pendarahan haid yang terlalu banyak dan juga menyakitkan dan kedatangan haid menghalang anda melakukan aktiviti harian untuk beberapa hari dalam sebulan, lebih baik anda berjumpa doktor untuk membincangkan cara untuk merawat kesakitan dan pendarahan yang berlebihan itu.

Adalah lebih baik berjumpa doktor jika anda terus mengalami pendarahan berlebihan semasa haid, untuk memastikan yang anda tidak mengalami anemia (kurang zat besi, yang boleh menyebabkan anda berasa letih dan pitam).

Terdapat beberapa rawatan yang tersedia untuk anda, bergantung pada punca pendarahan berlebihan itu. Jika ia disebabkan ketidakseimbangan hormon, terdapat beberapa jenis ubat yang boleh dipreskripsikan untuk membetulkan ketidakseimbangan itu, bagi punca-punca lain pula rawatan alternatif juga boleh didapati

Tidak datang haid

Sesetengah wanita mendapati setelah beberapa tahun mempunyai kitaran haid yang tetap, kemudian haid mereka tidak datang untuk satu tempoh masa yang signifikan. Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila tidak datang haid ialah memeriksa kemungkinan berlaku kehamilan, dengan menjalankan ujian kehamilan di rumah.

Istilah perubatan untuk tidak datang haid melebihi dari 6 bulan ialah 'amenoria'. Terdapat banyak sebab yang menyebabkan haid anda terhenti tiba-tiba, termasuk pertambahan atau kehilangan berat badan yang terlalu cepat, senaman berat dan tekanan. Jika anda mendapati yang anda mengalami hangat memerah dan semakin kurang berminat dalam seks, berkemungkinan yang anda mengalami tanda-tanda awal menopause (perimenopaus)

Walau apa pun simptom anda, jumpalah doktor jika kitaran haid anda yang biasanya teratur berubah atau berhenti.

Apakah sindrom prahaid (PMS)?

Apakah PMS?

Sindrom prahaid (PMS) juga dikenal sebagai ketegangan prahaid (PMT) dan merupakan satu istilah yang digunakan untuk menerangkan berbagai-bagai jenis simptom yang dialami oleh banyak wanita semasa separuh kedua kitaran haid.

PMS merangkumi pelbagai jenis simptom dan dianggarkan bahawa sehingga 75% wanita mengalami satu atau lebih simptomnya setiap bulan. Simptom-simptom ini termasuk

  • payudara mudah sakit jikalau tersentuh

  • kemurungan

  • kerisauan

  • sakit kepala

  • keletihan

  • cepat marah dan agresif

  • perut kembung

  • mengidam makanan

Simptom PMS paling kerap dialami wanita dalam lingkungan 20-an dan 30-an, walaupun semua wanita yang datang haid cenderung mengalami PMS. Bagi kebanyakan wanita, simptom PMS mengakibatkan ketidakselesaan atau kesukaran dari tahap ringan ke sederhana, tapi ada juga wanita yang mengalami PMS yang teruk. Ini dikenal sebagai kecelaruan disforia prahaid

Apakah yang menyebabkan PMS?

PMS mungkin merupakan tindak balas tubuh anda terhadap perubahan paras hormon yang berkaitan dengan kitaran haid walaupun tiada siapa benar-benar tahu punca sebenar PMS. Telah dicadangkan juga bahawa perubahan kimia dalam otak mungkin terlibat dalam PMS, dan pemakanan juga membawa impak (terutamanya makanan yang masin dan minuman berkafeina)

Bagaimana saya boleh tahu yang saya mengalami PMS?

Terdapat pelbagai cara untuk mendiagnosis PMS, tetapi tiada ujian yang muktamad untuknya. Terdapat juga masalah kesihatan lain yang menunjukkan simptom yang serupa dengan PMS, jadi jika anda berasa bimbang anda harus berjumpa doktor.

Bagi membantu mendiagnosis PMS, adalah baik jika anda menyimpan diari selama 3 atau 4 bulan dan mencatatkan sebarang simptom PMS fizikal dan mental yang anda alami apabila ia berlaku, serta bilangan hari haid anda. Adalah bermanfaat untuk anda mencatatkan apa yang dialami setiap hari. Selepas 3 atau 4 bulan, anda mungkin boleh mengenal pasti satu pola simptom. Walaupun polanya mungkin berbeza bagi setiap kitaran, wanita yang mengalami PMS boleh perasan yang simptom mereka alami itu segera berhenti sebaik sahaja haid bermula. Satu lagi pola yang mungkin boleh membantu doktor anda mendiagnosis PMS ialah jika anda mengalami satu minggu dalam kitaran haid yang anda tidak mengalami sebarang simptom.

Apa yang boleh saya lakukan untuk melegakan simptom itu?

Terdapat beberapa pilihan untuk anda melegakan simptom PMS, tetapi ia memerlukan anda mencuba-cuba untuk mengetahui kaedah yang terbaik untuk anda.

Sesetengah perkara yang jelas dan mudah yang ternyata boleh membantu ialah memastikan yang anda minum banyak air dan mengamalkan pemakanan seimbang. Adalah baik jika anda melebihkan hidangan buah-buahan segar dan sayur-sayuran dan mengurangkan pengambilan garam, gula dan makanan yang telah diproses. Banyak wanita mendapati bahawa mengelak pengambilan kafeina (biasanya terdapat dalam teh, kopi dan minuman kola) dan alkohol ketika mengalami PMS boleh mengurangkan sesetengah simptom. Mengambil tambahan vitamin B6 dan minyak evening primrose juga telah dicadangkan sebagai satu cara yang boleh mengurangkan simptom PMS.

Senaman yang kerap juga dapat membantu, khususnya kerana senaman mengurangkan stres dan tekanan dan boleh mengangkat mood anda. Jika anda menghidap PMS, anda mungkin mendapati bahawa berjalan, berenang atau berlari boleh meredakan simptom haid anda - cuba lakukan selama 30 minit, 3 kali seminggu.

Jika perubahan yang mudah dalam cara hidup yang disebutkan ini tidak membantu anda menangani PMS, anda harus berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat lanjut.