Tak datang haid atau terlewat? Perkara-perkara untuk diberi perhatian.

Terdapat pelbagai simptom yang boleh menunjukkan anda mungkin hamil. Ia berbeza antara wanita, dan antara satu kehamilan dengan yang lain. Jika anda hamil, anda mungkin perasan satu atau lebih daripada simptom ini. Jangan bimbang, anda tidak mungkin mengalami semuanya serentak.  Juga, anda tidak perlu bimbang jika anda langsung tidak mengalami mana-mana simptom. Ada kemungkinan anda hamil tanpa mengalami sebarang tanda-tanda kehamilan ini.

Tidak datang haid

Jika anda mempunyai kitaran haid yang teratur, lazimnya inilah tanda fizikal yang paling awal. Harus diingat bahawa anda boleh mengalami sedikit pendarahan ringan atau kesan darah pada masa haid anda dijangka walaupun anda hamil, dan pada masa telur yang sudah disenyawakan menempel pada rahim anda.

Jika kitaran anda tidak teratur anda mungkin perasan tanda-tanda kehamilan yang lain sebelum anda menyedari bahawa anda tak datang haid.

Simptom lain

Keletihan

Anda mungkin berasa tersangat letih dalam beberapa minggu pertama kehamilan. Ini mungkin disebabkan oleh peningkatan paras progesteron dalam badan anda untuk ia mengekalkan lapisan rahim anda bagi membantu menyokong kehamilan.

Rasa loya / Mabuk hamil

Anda mungkin mula berasa loya, malah muntah, antara minggu ke-2 kehamilan hingga ke-8. Keadaan ini biasanya akan hilang menjelang minggu ke-16 . Walaupun keadaan ini sering dikenal sebagai 'mabuk waktu pagi' ia boleh berlaku pada bila-bila masa, siang atau malam - dan mungkin juga dialami sepanjang hari.

Hiperemesis gravidarum (muntah berlebihan)

Kira-kira satu dalam 200 wanita hamil berkemungkinan mengalami hiperemesis gravidarum. Lazimnya berterusan sehingga melepasi trimester pertama (12 hingga 13 minggu), hiperemesis gravidarum menyebabkan muntah yang kerap dan teruk sehinggakan apa sahaja yang dimakan atau diminum akan dimuntahkan. Biasanya, keadaan ini boleh dirawat dan hanya dalam kes yang sangat luar biasa ia menyebabkan komplikasi kehamilan, tetapi sila dapatkan nasihat doktor jika anda mengalami mabuk yang teruk.

Perubahan payudara anda

Payudara anda mungkin menjadi lebih besar dan berasa sakit jikalau tersentuh atau sangat sensitif. Urat pada payudara anda mungkin lebih menonjol dan areola (puting) anda boleh menjadi gelap.

Lebih kerap membuang air kecil

Kira-kira 6 hingga 8 minggu selepas pensenyawaan anda mungkin perlu membuang air kecil dengan lebih kerap. Ini disebabkan uterus anda (istilah perubatan untuk rahim) telah membesar dan menekan pundi kencing anda. Pada akhir trimester pertama uterus anda akan naik ke atas di dalam abdomen anda menyebabkan tekanan ke atas pundi kencing anda berkurangan.

Fluktuasi mood

Hormon anda yang berubah-ubah boleh menyebabkan fluktuasi mood pada peringkat awal kehamilan - anda juga mungkin mendapati diri anda menangis tanpa sebab.

Perubahan cita rasa makanan (mengidam) dan kepekaan terhadap bau

Anda mungkin tidak lagi menggemari benda tertentu seperti teh, kopi atau makanan berlemak dan mula mengidam benda-benda yang biasanya anda tidak suka. Anda juga mungkin berasa loya apabila terbau benda tertentu - seperti kopi, daging atau alkohol.

Kekejangan

Anda mungkin mengalami kekejangan di betis atau kaki pada trimester pertama, dan kadangkala pada peringkat akhir kehamilan. Ini disebabkan perubahan dalam cara tubuh anda memproses kalsium.

Sama ada anda mengalami salah satu simptom-simptom ini atau tiada satu pun, satu-satunya cara untuk mengetahui dengan pasti sama ada anda hamil atau tidak adalah dengan melakukan ujian kehamilan.  Semua ujian kehamilan Clearblue melebihi 99% tepat bermula dari hari anda sepatutnya datang haid.  Ia boleh dipercayai, pantas dan mudah untuk digunakan.  Dan semua ujian Clearblue sangat sensitif sehingga boleh digunakan seawal 4 hari sebelum hari haid dijangka.


Kehamilan yang tidak dirancang

Jika anda telah melakukan ujian, anda mungkin mendapati diri anda hamil sedangkan ini bukanlah keputusan yang diharapkan.  Justeru adalah penting anda mengetahui tentang pilihan yang terbuka kepada anda. Ingatlah bahawa anda tidak keseorangan - setiap hari beratus-ratus wanita mendapati diri mereka dalam situasi serupa dan, dengan nasihat dan sokongan yang betul, mampu membuat keputusan mengenai tindakan yang paling sesuai diambil.

Anda perlu berbincang dengan seorang profesional penjagaaan kesihatan dengan seberapa segera. Mungkin anda boleh membuat temujanji dengan doktor, melawat klinik perancangan keluarga tempatan anda.