Penasihat-penasihat Clearblue menjawab soalan-soalan yang paling lazim mengenai kesihatan reproduktif, bagi membolehkan anda lebih memahami cara tubuh anda berfungsi.

Di Clearblue kami berinteraksi giat dengan pelbagai pakar Kehamilan dan Kesuburan terkemuka di seluruh dunia, bagi menyokong komitmen kami membantu seberapa ramai wanita yang mungkin bagi memperbaiki kebarangkalian mereka untuk hamil dengan sihat. Pakar-pakar kami, yang bereputasi dalam bidang masing-masing, adalah pakar dalam bidang seperti Reproduksi Berbantu, Kesuburan dan Kehamilan Awal. Peranan mereka adalah untuk membekalkan anda dengan pengetahuan yang komprehensif agar anda lebih memahami tempoh reproduktif anda.


Bill Ledger - Merancang untuk hamil S & J

Bill Ledger

Bill Ledger ialah Profesor dan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi di Universiti New South Wales di Sydney Australia, setelah meninggalkan jawatan Ketua Jabatan di Universiti Sheffield, UK, pada 2011. Beliau juga merupakan Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan di IVF-Australia. Beliau menghasilkan banyak penerbitan mengenai ketidaksuburan dan sebab-sebabnya, menduduki Sidang Editor beberapa jurnal utama, antaranya Kesuburan dan Ketidaksuburan dan BJOG (An International Journal of Obstetrics and Gynaecology), dan ialah ahli Perbadanan Pensenyawaan dan Embriologi Manusia sebelum berpindah pada 2011.

 
  • Kenapakah asid folik disarankan apabila mencuba untuk hamil?

    Terdapat bukti jelas bahawa paras asid folik yang baik dalam aliran darah ketika penghamilan ketara mengurangkan risiko bayi mempunyai kecacatan tiub saraf seperti spina bifida. Pihak berkuasa kesihatan awam di UK, AS dan lain-lain tempat menyarankan agar wanita yang sihat mengambil 0.4 atau 0.5 mg asid folik sehari (ia terkandung dalam banyak vitamin tambahan untuk pra-kehamilan) dan mereka yang mempunyai faktor risiko metabolisme asid folik yang rendah, seperti wanita yang mengambil ubat anti epilepsi atau mempunyai mutasi gen MTHFR perlu mengambil 5.0 mg sehari. Apa yang penting ialah memastikan ia berada dalam telur sebelum disenyawakan.

  • Adakah sebarang makanan yang harus dielakkan semasa mencuba untuk hamil?

    Kebanyakan makanan adalah tidak berbahaya semasa mengandung dan adalah penting untuk mengekalkan diet kehamilan yang sihat dan seimbang dengan jumlah nutrien yang wajar bagi pelbagai kategori pemakanan. Walau bagaimanapun kini terdapat kekhuatiran mengenai jangkitan listeria dari makanan yang tidak dipasteur dan yang mentah. Antaranya ialah susu yang tidak dipasteur, keju lembut, salad prasedia (contohnya, dari bar salad), sayur-sayuran mentah yang tidak dibasuh, pate, ayam sejuk berketul dan buah prapotong dan salad buah-buahan. Untuk mencegah listeriosis, elakkan makanan berisiko tinggi ini dan masaklah dengan sempurna makanan mentah daripada sumber haiwan seperti daging lembu, kambing, babi, atau ayam, simpan dan sediakan daging mentah berasingan dari sayur-sayuran, makanan yang dimasak, dan makanan sedia makan dan cucilah sayur-sayuran dan buah-buahan sebersih-bersihnya sebelum dimakan.

  • Saya mengalami keguguran baru-baru ini; berapa cepatkah saya boleh mencuba untuk hamil lagi?

    Pada masa lalu, pakar ginekologi menasihatkan wanita supaya menunggu sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum mencuba untuk hamil selepas keguguran. Walau bagaimanapun penyelidikan menunjukkan bahawa kebarangkalian untuk hamil dengan sihat adalah sama jika anda mencuba semula selepas haid pertama selepas keguguran itu. Tiada manfaat jika menunggu dan ramai wanita mahu mencuba seberapa segera selagi selamat. Bagaimanapun, pastikan anda rasa bersedia dari segi psikologi. Bersedih dengan kehamilan yang tak jadi adalah sihat dan normal dan tidak semua wanita mahu hamil lagi dengan cepat.

  • Saya didiagnosis dengan sindrom ovari polisistik, adakah ini membuatkan saya sukar untuk hamil dan mengapa?

    Wanita dengan sindrom ovari polisistik sering tidak atau tidak kerap mengovum. Wanita-wanita yang menghidapnya mempunyai haid yang tidak teratur atau jarang-jarang sekali. Jika anda tidak mengovum maka telur tidak dibebaskan dari ovari untuk memasuki tiub Falopio supaya dapat disenyawakan dan ditanam ke dalam rahim.

    Terdapat beberapa rawatan untuk anovulasi (kitaran tanpa pembebasan telur) dengan sindrom ovari polisistik. Ini termasuk tablet Klomifen (Clomid) dan suntikan ubat kesuburan. Doktor anda boleh memberi nasihat tentang perkara ini dan merujukkan anda kepada klinik pakar untuk bantuan.

  • Memandangkan kami sedang mencuba untuk menimang cahaya mata patutkah kami lebih kerap melakukan hubungan seks? Adakah hubungan seks yang terlalu kerap merosakkan kualiti atau kuantiti sperma?

    Sperma yang disimpan terlalu lama dalam testikel menambahkan kerosakan kepada DNAnya dan adalah kurang subur. Bagi pasangan yang kerap melakukan hubungan seks (setiap hari), pasangan lelaki akan mengeluarkan jumlah sperma yang lebih rendah setiap ejakulasi tetapi sperma adalah lebih subur. Jika anda mencuba untuk hamil, lakukanlah hubungan seks selang sehari sekitar masa ovulasi.

    Ujian ovulasi Clearblue boleh membantu dalam hal ini. Jika anda suka mengadakan hubungan seks lebih kerap, itu tidak memudaratkan. Walau bagaimanapun, pastikan anda tidak berasa tertekan, jadi jika anda lebih suka hubungan seks yang kurang kerap maka cubalah berusaha lebih giat sedikit pada masa ini.

  • Berapa lamakah perlu saya tunggu sebelum mencuba untuk hamil selepas kehamilan yang terakhir ?

    Tentunya penting bayi muda anda diberikan cukup masa dengan Ibu dan Ayah sebab sokongan fizikal daripada penyusuan selain asuhan dan penjalinan ikatan adalah amat penting bagi perkembangan bayi anda pada bulan-bulan awal. Ramai wanita yang menyusu badan dapat mengesan kelewatan datang haid selepas bersalin, walaupun menyusu badan bukanlah satu bentuk kontrasepsi.

    Juga penting bagi anda menentukan saiz keluarga yang anda mahu, dan membuat perkiraan berdasarkan umur anda. Usia pasangan, terutamanya wanita, mempunyai impak yang besar atas kebarangkalian untuk hamil lagi. Jika dia melebihi 35 atau berasal dari keluarga yang menopaus awal maka lebih baik mencuba lebih awal. Sama juga halnya jika usia lelaki melebihi 45.

  • Bolehkah ovulasi berlaku lebih daripada sekali dalam kitaran saya?

    Ya, ada kemungkinan ovulasi berlaku dua kali tetapi ia biasanya berlaku pada masa yang sama dalam sesuatu kitaran. Inilah cara kembar tidak seiras berlaku, iaitu dari ovulasi dua telur berasingan. Kembar lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia lebih 35 tahun yang merupakan satu daripada sebab kumpulan lebih tua cenderung mendapat anak kembar (sebab lain ialah bahawa banyak klinik IVF menggunakan dua embrio untuk wanita lebih tua manakala umumnya satu embrio digunakan bagi mereka di bawah 40 tahun)

  • Adakah posisi seks tertentu meningkatkan kebarangkalian kita untuk hamil?

    Ini merupakan satu cerita karut. Ramai wanita mendapati bahawa air mani seolah-olah 'bocor keluar' dari vagina selepas hubungan seks sebab itu mereka baring dengan meletakkan kaki atas bantal atau dengan kaki diangkat ke atas. Bagaimanapun kehilangan ini hanya air mani - sperma yang bergerak itu cepat memasuki lendir pada pangkal rahim jadi tak perlu bimbang tentang kebocoran ini.

  • Adakah benar bahawa dengan meletakkan kaki saya ke atas selama 30 minit selepas hubungan seks meningkatkan peluang saya untuk hamil?

    Rasanya tidak. Lihat di atas - jika kehamilan mahu berlaku ia akan berlaku, dan berbaring dalam posisi tertentu tidak akan membantu.

  • Saya menghidapi endometriosis dan amat bimbang saya tak boleh hamil, adakah ini benar?

    Ramai wanita dengan endometriosis ringan boleh hamil dengan mudah, tetapi kebarangkalian untuk menjadi subsubur walaupun penyakit itu ringan adalah lebih tinggi berbanding dengan kadar berdasarkan peringkat umur. Endometriosis yang teruk boleh merosakkan tiub Falopio dan ovari , dan perekatan yang boleh terjadi akibat endometriosis juga boleh menyekat tiub. Pakar ginekologi anda akan dapat menasihati anda tentang apa yang perlu dilakukan dalam hal ini. Jangan dibiarkan lebih daripada beberapa bulan sebelum mendapatkan nasihat.

  • Kami merancang untuk cuba mendapatkan anak, adakah apa-apa tambahan diet selain asid folik yang boleh membantu saya?

    Asid folik paling penting. Walau bagaimanapun, elok jika anda memeriksa paras vitamin D anda dan mengambil tambahan jika ia tidak mencukupi (dan ramai di antara kita yang memang kekurangan) Jika diet anda tak banyak mengandungi daging merah anda mungkin memerlukan tambahan zat besi dan jika mengamal diet vegetarian, tambahan lain juga harus dipertimbangkan. Walau bagaimanapun terdapat industri yang besar yang dibentuk semata-mata bagi menjual vitamin dan tambahan untuk wanita yang mahu hamil, tetapi tiada bukti jelas bahawa orang muda yang sihat dan mengamalkan diet yang seimbang memerlukan tambahan seumpama ini.

  • Kami merancang untuk cuba mendapatkan anak, adakah apa-apa tambahan diet yang pasangan saya perlu ambil?

    Tidak jika dia tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan atau mempunyai pantang pemakanan. Jika anda sudah lama mencuba mungkin baik jika meminta doktor anda mengatur kiraan spermanya - jika ia normal maka tak perlu bimbang tentang diet. Berhenti merokok, minum secara sederhana dua atau tiga kali seminggu, turunkan berat badan kepada julat normal mengikut ketinggian anda (tetapi jangan turun terlalu banyak) dan nikmatilah kehidupan intim yang menggembirakan.

  • Kitaran saya tidak pernah mempunyai tempoh yang sama, adakah ini normal?

    Ramai wanita secara semula jadi mempunyai kitaran haid yang berbeza beberapa hari dari bulan ke bulan. Jika anda sedang mencuba untuk hamil, menentukan tempoh kesuburan anda yang lebih panjang boleh memanfaatkan. Lihat penyelesaian yang tersedia dalam video di bawah.

     


Caroline Overton - Adakah saya hamil? S & J

Caroline Overton

Puan Caroline Overton ialah pakar perunding Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Universiti St Michael di Bristol, dengan kepakaran khusus dalam imbasan ultrabunyi ginekologi dan pembedahan laparoskopi. Beliau ialah pakar Ginekologi utama bagi Klinik Kehamilan Awal dan Pusat Endometriosis di Hospital Universiti Bristol. Di peringkat kebangsaan, beliau ialah Pengerusi Persatuan Unit Kehamilan Awal dan penasihat perubatan untuk Endometriosis UK. Dia ialah seorang ahli kumpulan pembangunan garis panduan National Institute of Clinical Excellence (NICE) yang menerbitkan panduan mengenai keguguran dan kehamilan ektopik pada Disember 2012. Puan Overton telah menulis beberapa buah buku mengenai perubatan reproduktif (kesuburan), pembedahan laparoskopi dan endometriosis.

 

Michael Thomas - Belum hamil lagi S&J

Michael Thomas

Michael A. Thomas, MD ialah Profesor Obstetrik dan Ginekologi dan Pengarah Felow dan Seksyen di Bahagian Endokrinologi Reproduktif dan Ketidaksuburan di Universiti Cincinnati, Kolej Perubatan, Cincinnati, Ohio. Jawatan beliau sebelum ini termasuk Pengarah Pusat Kesihatan Reproduktif di Universiti Cincinnati dan Naib Pengerusi Jabatan Obstetrik and Ginekologi. Beliau dianugerahkan pensijilan lembaga dalam Obstetrik dan Ginekologi dan Endokrinologi Reproduktif dan Ketidaksuburan.

Profesor Thomas mendapat B. S. dari Universiti Northwestern, Evanston, Illinois, pada 1980 dan M. D. dari Universiti Illinois, Kolej Perubatan, Champaign, Illinois pada 1984. Minat penyelidikan beliau merangkumi Kontrasepsi, Ketidaksuburan, Tekanan dan Fungsi Reproduktif, Endokrinologi Reproduktif dan Menopaus. Beliau juga merupakan ahli Persatuan Endokrin, Persatuan Penyiasatan Ginekologi (SGI) dan Persatuan Perancangan Keluarga (SFP).

Profesor Thomas diiktiraf di peringkat nasional sebagai peneraju dalam bidang reproduksi berbantu dan menghasilkan banyak penerbitan dalam bidang ini termasuk artikel dalam penerbitan Fertility and Sterility, the Journal of Assisted Reproduction and Genetics, the Journal of Clinical Endocrinology and Metabolism, and Menopause.

 
  • Adakah tekanan mendatangkan kesan terhadap keupayaan saya untuk hamil?

    Tekanan mungkin mendatangkan kesan yang minima terhadap keupayaan wanita untuk hamil. Kajian menunjukkan bahawa atlet elit dan wanita yang mempunyai pengeluaran hormon wanita yang rendah (akibat masalah pemakanan, berat badan yang rendah) mengaktifkan hormon tekanan mereka, yang boleh mendatangkan kesan ke atas keupayaan mereka untuk mengeluarkan telur. Tekanan harian yang biasa mungkin tidak mempunyai banyak impak terhadap keupayaan anda untuk hamil. Biasanya keadaan tertekan bersifat jangka pendek dan tidak memberi kesan berterusan terhadap kesuburan anda.

  • Saya mempunyai kitaran yang sangat pendek, adakah itu sebabnya saya tidak boleh hamil?

    Tempoh kitaran normal biasanya 23-35 hari. Kitaran yang lebih pendek atau lebih panjang daripada tempoh ini boleh dikaitkan dengan isu-isu kesuburan. Sepanjang jangka hayat reproduksi wanita, tempoh kitaran biasanya berada sekitar tempoh masa ini. Jika kitaran anda biasanya kurang daripada 23 hari, anda perlu berjumpa dengan doktor anda. Penggunaan monitor kesuburan rumah akan membantu anda meramalkan masa ovulasi.

  • Saya mempunyai seorang anak/(beberapa orang anak) tetapi mendapati amat sukar untuk hamil kali ini; apakah sebabnya?

    Beberapa faktor boleh menghalang keupayaan anda untuk hamil walaupun telah mendapat anak pada masa lalu. Isu yang paling lazim ialah usia anda sekarang. Jika anda pernah melahirkan anak pada masa lalu dan usia anda kini melebihi 35 tahun, keupayaan anda untuk hamil boleh menurun. Anda juga mungkin mempunyai masalah dalam keupayaan anda untuk mengovum secara konsisten dan/atau ada polip atau fibroid dalam rongga rahim yang boleh menjejaskan keupayaan embrio untuk membenam dan membesar. Juga, pasangan lelaki anda mungkin mempunyai keabnormalan sperma yang menyebabkan penurunan dalam jumlah, pergerakan atau bentuk spermanya. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan berbincanglah dengan HCP anda?

  • Saya mengalami penamatan kehamilan pada masa lalu; adakah ia menjejaskan keupayaan saya untuk hamil sekarang?

    Biasanya penamatan kehamilan tidak akan memberi kesan kepada keupayaan anda untuk hamil pada masa akan datang. Namun, walaupun jarang berlaku, rahim anda mungkin merekat dan boleh menjejaskan kesuburan pada masa hadapan. Jika anda mengalami kitaran bulanan yang normal, kebarangkalian adalah rendah yang perekatan ini akan menjejaskan kesuburan anda. Berjumpa dengan pakar kesuburan atau pakar ginekologi akan membantu memastikan yang rahim anda tidak terjejas jika anda telah cuba untuk hamil selama setahun, berusia kurang daripada 35 tahun dan mempunyai tempoh kitaran antara 23-35 hari. Jika anda berusia melebihi 35, sebaik-baiknya berjumpa selepas 6 bulan, dan serta-merta jika lebih daripada 40.

  • Saya ada mendengar bahawa kita boleh menghitung rizab ovari (jumlah & kualiti telur yang masih ada) dengan menjalankan ujian darah bagi hormon Anti mullerian dan FSH - apakah ertinya ini?

    Bagi wanita yang berusia 35 tahun ke atas, majoriti doktor secara rutin menjalankan ujian rizab ovari jika mereka sedang mencuba untuk hamil. Ujian darah termasuk AMH atau ujian hormon anti mullerian, yang boleh diambil pada bila-bila masa sepanjang kitaran haid dan walaupun anda mengambil pil perancang. Hormon anti mullerian dihasilkan oleh sel-sel dalam folikel ovari dan boleh merupakan cara awal bagi menentukan berapa banyak baki rizab yang terdapat dalam ovari. Tafsiran keputusan ujian ini mungkin berbeza-beza dari satu pembekal penjagaan kesihatan kepada yang lain.

    Juga, pada hari ke-3 dalam kitaran haid (dua hari selepas haid anda bermula), anda boleh mendapatkan ujian darah untuk FSH (Follicle Stimulating Hormone) dan Estradiol. Kedua-dua ujian ini boleh menjadi satu cara menentukan sama ada fungsi ovari telah menyusut pada permulaan kitaran haid apabila folikel yang dominan sedang diambil untuk ovulasi. Satu lagi ujian untuk rizab ovari yang sudah merosot ialah kiraan folikel antral. Semasa ujian ini, ultrabunyi merentasi vagina digunakan untuk menentukan sama ada bilangan folikel yang ada telah bersedia untuk diambil pada hari kitaran ke-3. Maklumat lebih lanjut tentang ujian rizab ovari boleh didapati di www.reproductive facts.org

  • Saya berusia 35 tahun dan belum menemui pasangan hidup saya tetapi inginkan bayi pada masa akan datang, haruskah saya memikirkan tentang pembekuan telur saya ini?

    Persatuan Amerika untuk Perubatan Reproduktif baru-baru ini telah menyatakan bahawa pembekuan telur (oosit) bukan dikelaskan sebagai eksperimen. Oleh kerana itu, pusat-pusat kesuburan kini boleh membekukan telur untuk wanita yang mahu menggunakannya pada masa akan datang. Wanita yang mempertimbangkan pilihan ini boleh membekukan telur sahaja atau membekukan gabungan telur dan embrio (telur yang telah disenyawakan) dengan menggunakan sperma penderma. Kini, pencairan telur dan pensenyawaan seterusnya berbeza-beza antara pusat kesuburan. Embrio dianggap mempunyai kebarangkalian lebih baik untuk mencair dan ditanamkan ke dalam rahim berbanding mencairkan telur dan mensenyawakannya kemudian hari.

  • Saya tidak pasti saya mengovum setiap bulan, apakah agaknya sebabnya?

    Wanita kadangkala tidak mengovum setiap bulan atas beberapa sebab. Jika anda mempunyai kitaran haid yang berlangsung setiap 23 hingga 35 hari dan anda mempunyai tanda-tanda bengkak payudara, kembung, kekejangan pelvis atau rahim, atau perubahan mood 3-14 hari sebelum kitaran haid, anda barangkali mengovum. Walau bagaimanapun, jika kitaran anda biasanya melebihi 35 hari, anda mungkin tidak mengovum secara konsisten atau langsung tidak mengovum. Majoriti wanita yang tidak mengovum dan tidak hamil, mungkin menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS). PCOS ialah suatu keadaan sejak lahir dan boleh menyebabkan seorang wanita tidak mengovum (membebaskan telur) secara teratur dan konsisten. Wanita-wanita ini juga mungkin mempunyai jerawat dewasa atau pertumbuhan bulu berlebihan atas bibir atau di bawah dagu. Melalui ultrabunyi, ovari mungkin kelihatan mempunyai banyak sista kecil di dalamnya, yang kekal pada saiz yang kecil. Keadaan lain yang boleh menyebabkan anda tidak mengovum termasuk fungsi tiroid yang rendah (hipotiroidisme), pengeluaran prolaktin yang tinggi (hiperprolaktinemia), dan jika berada dalam tempoh masa sebelum menopaus (perimenopaus). Jika anda merasakan bahawa anda tidak mengovum secara konsisten, anda harus berjumpa dengan pembekal penjagaan kesihatan.