Kepentingan pengaturan masa yang betul

Sama ada anda cuma terfikir hendak mencuba untuk hamil, atau sedang aktif mencuba, pemahaman yang lebih baik tentang cara tubuh anda berfungsi tentu sangat membantu. Malah satu dalam dua pasangan mungkin sedang mencuba untuk hamil pada hari-hari yang salah dalam kitaran haid wanita [i] kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan seperti yang kita akan kongsikan bersama dengan anda di sini. Kami telah mengumpulkan maklumat yang akan membantu anda memahami tentang kesuburan anda, proses ovulasi dan bagaimana kedudukan semuanya dalam kitaran haid anda secara keseluruhan.

Terdapat hanya beberapa hari (biasanya 6)dalam setiap kitaran apabila anda boleh hamil, hari-hari sebelum ovulasi, termasuk hari ovulasi. Oleh itu, mengetahui bilakah hari-hari ini dalam kitaran anda adalah penting jika anda sedang mencuba untuk hamil.


Apakah Ovulasi?

Ovulasi merupakan nama satu proses yang berlaku dalam setiap kitaran haid apabila perubahan hormon mencetuskan ovari untuk melepaskan telur . Ini selalunya berlaku 12 hingga 16 hari sebelum haid anda yang berikutnya bermula.

  • Telur-telur terkandung dalam ovari anda. Pada bahagian pertama dalam setiap kitaran haid, salah satu telur dibesar dan dimatangkan.

  • Menjelang ovulasi, tubuh anda menghasilkan lebih banyak hormon digelar estrogen, yang menyebabkan dinding rahim anda menjadi tebal dan membantu mewujudkan persekitaran yang mesra sperma.

  • Tahap estrogen yang tinggi ini mencetuskan peningkatan yang mendadak dalam satu hormon lain yang diberi nama LH (hormon peluteinan). Apa yang dipanggil lonjakan LH menyebabkan pembebasan telur yang matang dari ovari – hal ini yang dikatakan ovulasi.

  • Ovulasi biasanya berlaku 24 hingga 36 jam selepas lonjakan LH, sebab itulah lonjakan LH merupakan peramal puncak kesuburan yang baik.

Telur hanya boleh disenyawakan selama 24 jam selepas ovulasi. Jika ia tidak disenyawakan lapisan dinding rahim akan runtuh (telur gugur bersama dengannya) dan haid anda bermula. Ini menandakan permulaan kitaran haid yang berikutnya.

Walaupun telur hanya hidup selama 24 jam, sperma kekal aktif selama lima hari. Oleh itu kita mungkin hairan apabila mengetahui bahawa pasangan boleh hamil melalui hubungan seks empat hingga lima hari sebelum telur dibebaskan.

Keseluruhan ‘tempoh kesuburan', dengan mengambil kira jangka hayat sperma dan telur sekali, ialah lebih kurang 6 hari.

 


Apakah itu Tempoh Kesuburan?

'Tempoh kesuburan' anda merupakan tempoh kira-kira 6 hari dalam kitaran haid yang anda boleh menjadi hamil melalui hubungan seks tanpa perlindungan.

Graf di bawah menunjukkan anggaran penghamilan pada hari ovulasi dan 5 hari sebelum itu.

 


Memahami kitaran haid anda yang unik

Seperti yang kita sebutkan di atas, ovulasi biasanya berlaku 12-16 hari SEBELUM bermula haid anda yang seterusnya, jadi pengaturan masa ovulasi bergantung pada tempoh kitaran haid anda. Memang benar bahawa tempoh purata kitaran haid ialah 28 hari, tetapi tiada seorang pun daripada kita yang 'purata’ dan tempoh kitaran berbeza antara seorang wanita dengan yang lain dan antara satu kitaran dengan yang lain - sebenarnya 46% daripada tempoh kitaran haid berbeza sebanyak 7 hari atau lebih [ii]. Jadi untuk hamil, adalah penting untuk mengadakan hubungan seks pada hari-hari subur anda dan jika anda mahu mengetahui bilakah anda paling subur, adalah penting untuk anda mengenali tubuh anda sendiri dan tempoh kitaran haid anda.

Bagi mengira tempoh kitaran haid anda, kira bilangan hari dari hari pertama pendarahan haid hingga hari sebelum pendarahan berikutnya bermula.

Tempoh kitaran haid mungkin berbeza antara seorang wanita dengan yang lain dan antara satu kitaran dengan yang lain dan biasanya berbeza sebanyak 23 hingga 35 hari.

Jika anda ingin melihat dengan lebih mendalam tentang apa yang berlaku di dalam tubuh anda semasa kitaran haid berjalan, klik terus ke halaman Kitaran dan Ovulasi kami.

Lihat kitaran lengkap haid anda secara terperinci

Cara menentukan tempoh kesuburan anda