Sebelum anda mula

Sebelum anda mula

Jika anda merancang untuk hamil, secara idealnya sebaik sahaja anda mahu mencuba anda harus mula berfikir tentang kesihatan dan gaya hidup anda. Kami sarankan anda merujuk doktor sebelum mencuba untuk hamil.


Menghentikan Kontrasepsi

Dengan sesetengah kaedah pencegahan hamil, seperti kondom lelaki dan wanita, kep, diafragma dan perancangan keluarga secara natural, sebaik sahaja anda berhenti menggunakan kontrasepsi itu anda akan menjadi subur serta merta. Dengan kaedah lain, seperti kombinasi pil kontrasepsi dan suntikan kontrasepsi, kitaran haid anda akan mengambil sedikit masa untuk kembali normal setelah penghentian kontrasepsi. Walaupun tiada sebab yang menghalang anda mencuba dengan segera, sesetengah wanita lebih selesa menunggu beberapa bulan sebelum mencuba untuk hamil bagi memantapkan kembali kitaran semula jadi mereka dan membolehkan tubuh mereka bersedia sepenuhnya.

Asid folik

Mengambil tambahan asid folik membantu mencegah berlakunya kecacatan kepada tiub saraf bayi anda. Contohnya, di UK, Ketua Pegawai Perubatan Kerajaan menyarankan wanita yang merancang untuk hamil, dan yang sedang hamil, supaya mengambil tambahan asid folik yang mengandungi 400 mikrogram asid folik setiap hari, seeloknya bermula 3 bulan sebelum anda mencuba untuk hamil, dan sepanjang trimester pertama kehamilan anda. Jika anda mengamalkan diet sihat, anda pasti akan mendapat asid folik daripada makanan seperti bijirin yang kaya vitamin, kekacang, sayur-sayuran daun hijau dan jus oren, tetapi adalah penting untuk terus mengambil tambahan kerana amat sukar untuk mendapatkan jumlah asid folik yang diperlukan menerusi pemakanan sahaja.

Pemakanan sihat

Jika anda mengamalkan pemakanan sihat sebelum anda hamil, anda akan mempunyai semua nutrien yang sesuai untuk menyokong bayi anda dari hari berlakunya penghamilan dan seterusnya. Makanlah hidangan yang seimbang dan teratur, banyakkan buah-buahan segar dan sayur-sayuran dan kurangkan pengambilan makanan yang telah diproses dan makanan 'segera'. Pastikan diet anda mengandungi:

  • Karbohidrat - roti (perang) mil penuh, pasta, nasi dan bijirin adalah lebih baik daripada roti putih, kek dan biskut

  • Buah-buahan dan sayur-sayuran - cuba makan lima hidangan setiap hari, dan sedarlah bahawa lebih berwarna-warni buah atau sayur itu, lebih banyak khasiatnya.

  • Protein - anda boleh dapatkan protein yang anda perlukan dari daging, ikan, telur dan kekacang polong.

  • Susu dan produk susu – kedua-duanya mengandungi banyak kalsium, yang penting untuk pertumbuhan tulang

  • Lemak - cuba dapatkan keperluan lemak anda dari sumber sayur-sayuran seperti minyak zaitun, atau ikan berminyak seperti salmon, hering atau tenggiri

Kecergasan dan berat badan yang sihat

Kehamilan akan meletakkan banyak tekanan pada tubuh anda maka mengekalkan kecergasan sebelum kehamilan akan membantu anda apabila tiba masa anda hamil. Jika anda sentiasa cergas sebelum anda hamil, mudah untuk anda kekal aktif setelah anda hamil. Senaman membantu meningkatkan mood dan tahap tenaga anda, juga mengurangkan tekanan, yang tentunya baik jika mahu hamil.

Berat badan yang kurang atau berlebihan boleh menghalang kebarangkalian anda untuk hamil, maka sebaik-baiknya berusahalah dan dapatkan berat yang ideal seboleh mungkin sebelum mencuba untuk hamil - doktor boleh menasihati anda tentang berat badan yang sihat untuk anda.

Merokok, dadah rekreasi, alkohol

Paling baik elakkan merokok, mengambil dadah rekreasi dan alkohol semasa anda sedang mencuba untuk hamil dan sepanjang kehamilan anda.

Jika anda merokok, berhenti merokok boleh meningkatkan kebarangkalian anda untuk menjalani kehamilan yang sihat dan mendapat bayi yang sihat. Anda boleh elakkan asap rokok basi dengan menggalakkan pasangan anda untuk berhenti merokok juga.

Alkohol juga tidak baik untuk bayi ketika ia membesar - dan juga mengurangkan kebarangkalian untuk hamil, jadi mengurangkan atau menghentikan pengambilan alkohol sama sekali pasti membantu anda. Wain merah walaupun dianggap sihat, sebenarnya tidak sihat bagi bayi ketika ia membesar.

Juga, jika anda mengambil sebarang dadah rekreasi, anda harus berhenti semasa anda mencuba untuk hamil atau setelah hamil, kerana dadah itu tidak baik jika mahu hamil dan menjejaskan kesihatan bayi anda.

Jika pasangan anda merokok, mengambil minuman keras atau dadah, semasa mencuba untuk hamil, adalah penting bagi pasangan anda mengurangkan pengambilan bahan-bahan ini (dan sebaik-baiknya, berhenti sama sekali). Selain memberi kesan sekunder kepada anda, dadah rekreasi dan alkohol memberi kesan buruk kepada kualiti sperma.

Vaksinasi Rubela

Rubela, atau penyakit campak Jerman, boleh menjejaskan bayi dalam kandungan. Jika anda belum pernah disuntik vaksin Rubella, jumpalah doktor sebelum mencuba untuk hamil dan elakkan daripada menjadi hamil selama sebulan selepas pemvaksinan.


Perkara-perkara yang perlu langkah berjaga-jaga

  • Telur mentah dan daging atau makanan laut yang mentah atau tidak dimasak sempurna.

    Semua ini mungkin mengandungi salmonella atau organisma lain yang boleh menyebabkan keracunan makanan

  • Produk tenusu yang tidak dipasteurkan, hati atau pate hati dan lebihan makanan

    Makanan ini mungkin mengandungi Listeria, dan membawa risiko keguguran atau bayi lahir mati.

  • Hati/produk hati

    Ia mengandungi tahap vitamin A yang tinggi, yang boleh membahayakan bayi ketika membesar maka harus dielakkan.

  • Vitamin tambahan yang TIDAK dilabelkan "Untuk Kegunaan semasa Kehamilan"

    Vitamin atau tambahan lain hanya boleh digunakan, jika tertera pada peknya selamat digunakan semasa kehamilan.  Sesetengah vitamin, jika diambil secara berlebihan, adalah amat berbahaya kepada bayi ketika membesar dalam kandungan. Sebab penting mengambil asid folik, seperti yang telah disebutkan sebelum ini, maka belilah ia sebagai tambahan tunggal atau belilah tambahan yang khusus untuk diambil semasa kehamilan.

  • Berhati-hati dengan pengambilan ubat

    Bincangkan sebarang pengambilan ubat dengan doktor, beritahu ahli farmasi yang anda hamil jika membeli sebarang ubat tanpa preskripsi. Ubat yang remeh seperti semburan dekongestan hidung boleh mengandungi bahan yang tidak harus diambil semasa hamil.
  • Berjaga-jaga terhadap toksoplasmosis

    Sayur-sayuran yang tidak dibasuh, daging yang tidak dimasak sempurna dan najis kucing membawa risiko toksoplasmosis - yang boleh menyebabkan keguguran, bayi lahir mati atau kecacatan kepada bayi anda. Jadi, pastikan buah dan sayur-sayuran dibasuh, hanya makan daging yang dimasak sempurna dan pakai sarung tangan apabila anda berkebun atau membuang pasir kumbahan kucing.


Bagaimana pasangan anda boleh membantu - cara untuk menggalakkan pengeluaran dan kelanjutan usia sperma.

  • Pastikan sentiasa cergas dan sihat

    Dia harus cuba untuk kekal aktif seberapa yang boleh, mengurangkan pengambilan alkohol dan berhenti merokok dan mengamalkan diet yang sihat.

  • Gunakan pelincir yang mesra-sperma

    Pastikan sebarang pelincir yang anda gunakan bukan jenis 'pembunuh sperma' atau toksik terhadap sperma. Anda boleh membeli pelincir yang diformulasikan khas 'mesra-sperma'.

  • Pastikan persekitaran testis sejuk

    Pasangan anda harus memakai pakaian dalam yang longgar dan elakkan berendam dalam air panas. Pemanasan' testis yang berpanjangan atau berterusan boleh mengurangkan kualiti sperma.

  • Hubungan seks yang kerap dan aktif

    Kajian menunjukkan bahawa sperma dengan kualiti DNA yang lebih baik dihasilkan jika lelaki hanya mengeluarkan air mani setiap selang beberapa hari.

  • [i] NICE Clinical Guideline 62 (2008)